Friday, March 7, 2014

HIDUP BERPRINSIP 1

Manusia adalah satu kejadian yang istimewa.  Tetapi kita menjadi manusia lebih bermakna apabila kita hidup berdasarkan prinsip.


Apabila ditanya tentang prinsip hidup, pelbagai jawapan dan telahan akan di ketengahkan.  Pandangan agamawan, sarjanawan, sejarawan, ahli falsafah, ahli akedemik, ahli politik, ahli ekonomi…bertubi-tubi serta rungkaian pelbagai dimensi menjadi buah bicara.  Persoalan prinsip hidup menjadi penting setelah manusia mengetahui tentang maudhu kehidupan yang lebih induk – tabi’e dan hakikat kejadian, tujuan dan matlamat kejadian.  Dari mana kita datang? Untuk apa dan ke mana seterusnya?

Hakikatnya, mencari jawapan prinsip hidup memaksa kita membuka laluan baru kepada kepelbagaian persoalan lain.  Ini menyebabkan prinsip hidup tidak menjadi agenda utama; kerana ianya dianggap rumit dan sulit.  Sekiranya prinsip hidup dikesampingkan, maksud dan tujuan kehidupan menjadi terlalu rendah dan hina…seperti yang difahami oleh haiwan ternak di ladang atau di hutan!  Hidup hanya untuk melangsaikan selera nafsu.



Prinsip adalah Tetap

Prinsip adalah formula dan fakta kehidupan yang tetap dan bersifat semulajadi.  Ianya tidak berubah.  Ianya sedia ada sejak penciptaan manusia dan persekitarannya (bumi dan isinya, planet dan segala cakerawalanya).  Allah SWT menentukan semuanya berkembang dan membiak di atas paksi prinsip kejadian yang ditentukanNya.  Manusia yang gagal menelaah prinsip ini, akan gagal dalam hidupnya di dunia dan akhirat kelak.  Dan manusia yang menggunakan akal dan naluri hatinya untuk membuat penelahan dan pemerhatian akan prinsip-prinsip kejadian (merentasi time dan space), mereka adalah manusia yang sangat istimewa (intelligent, alim dan bijaksana).


Prinsip yang Allah Azza wa-Jalla susun untuk kehidupan adalah tetap dan tidak berubah.  Kesemua prinsip-prinsip ini adalah bersifat saintifik – boleh diselidik dan dipelajari dan sesetengahnya boleh dimanupulasi.  Justeru itu, mukjizat bukanlah prinsip kehidupan kerana ianya tidak saintifik (pada kacamata sains) dan ianya diturunkan hanya kepada para anbiya (as) bagi melawan prinsip yang sedia ada.  Mukjizat ada keperluannya tersendiri dan amat terpencil.  Oleh sebab itulah, bagi mereka yang inginkan kejayaan di dalam apa jua bidang, menunggu mukjizat bukan prinsip yang betul dan amat tersasar!

Contoh…prinsip yang ditetapkan Allah di dalam kewujudan kita ialah kuasa magnet, tarikan gravity, pusingan bumi yang memberi musim tertentu untuk kehidupan dan sebagainya.  Mengetahui dan menerima ketentuan ini menyebabkan manusia berfikir lebih mendalam kepada hakikat kejadian dirinya.  Menjadikan manusia berjaya di dalam hidup dan menguasai hikmah (wisdom)!



Hidup Berprinsip Penentu Kejayaan

Apa jua latarbelakang seseorang, hidupnya akan berjaya sekiranya dia mengikuti prinsip hidup yang sedia ada…atas apa jua nama dan label yang diletakkan, prinsip kehidupan pada hakikatnya adalah sama.  Prinsip kehidupan bukan hak kuasa monopoli kumpulan/agama/bangsa/umur  tertentu!  Prinsip kehidupan adalah nikmat Allah SWT untuk kehidupan ini.  Sebagai contoh, seorang atheist (mulhid) akan tetap berjaya di dalam hidupnya sekiranya dia melakukan amalan yang pada prinsipnya memastikan seseorang itu berjaya. Perkara-perkara tersebut termasuklah rajin mencuba, tidak berputus-asa, mendalami kefahaman dan ilmu di dalam bidang yang diceburi dan merancang mengikut tatacara yang betul.

Menggunakan argument yang sama, seorang ‘agamawan’ akan gagal sekiranya dia gagal menguasai prinsip kejayaan walaupun dia seorang ahli ibadah yang kuat.  Dia gagal kerana amalannya tidak mengikuti prinsip induk yang ditentukan Allah SWT ke atas setiap kejadian.  Dia tidak rajin mencuba, cepat menyerah kalah dan selalu menunda kerja ke saat akhir…walaupun pada masa yang sama dia adalah seorang yang rajin membaca al-Quran atau rajin solat sunat.  Kontek yang dimaksudkan bolehlah diletakkan ke atas 2 orang pelajar -- seorang pelajar muslim yang malas berbanding seorang lagi pelajar bukan Islam tetapi gigih di dalam urusan pelajaran.  Pelajar bukan Islam yang gigih akan menuai hasil yang lebih kerana prinsip induk untuk berjaya di dalam pelajaran ialah rajin mentelaah dan cuba memahami ilmu dengan gigih dan usaha berbanding pelajar Islam yang malas dan tidak mengurus pelajarannya mengikut prinsip kejayaan.

bersambung...


No comments:

Post a Comment